Guru Bahasa Berbahasa
Berpeluang menghadiri Bengkel Penghayatan Komsas peringkat negeri pada bulan lepas memberikan banyak ilmu kepada saya, terutama dalam hal kaedah dan teknik pengajaran komsas. Komsas merupakan komponen penting dalam mata pelajaran bahasa Malaysia.Bengkel tersebut yang dikelolakan oleh jurulatih berpengalaman (guru) berdasarkan bidang ilmu yang mereka sampaikan. Pada saya objektif bengkel untuk menyalurkan kaedah dan teknik pengajaran kepada guru tercapai. Sesi bengkel pun menarik walaupun sesetengah guru yang datang berharap akan memperoleh penjelasan berkaitan teks baru komsas yang akan digunakan oleh pelajar tingkatan 1 dan tingkatan 4 pada tahun 2010.
Sepanjang bengkel tersebut, saya tertarik dengan penggunaan bahasa dalam kalangan jurulatih dan peserta yang semuanya mengajar sama ada sastera atau bahasa Malaysia di sekolah masing-masing. Sukar untuk mendengar bahasa Malaysia digunakan dengan sebaiknya. Penggunaan dialek dan bahasa rojak begitu ketara. Mungkin kerana mahu santai atau sengaja tidak mahu berbahasa sebaiknya. Dalam kalangan peserta ada yang menggunakan bahasa baku dengan baik dan mendapat pujian daripada jurulatih, namun jurulatih sendiri masih terikat dengan kepekatan dialeknya. Antara yang saya catatkan:
i. Dalam beg ni ada segala mak neka
ii. Tak dan nak make up
iii. Kita konar sikit no
iv. Dia bangkit, dia celapak pi
v. Belum makan slow, lepas makan pun slow juga
vi. Semua dah warming up
Memang sukar untuk cuba berbahasa dengan sebaiknya, namun sebagai guru yang mengajar bahasa ibunda keutamaan untuk menggunakan bahasa baku wajarlah dijadikan kebiasaan. Kita haruslah cuba untuk berbahasa dengan sebaiknya.
7 ulasan:
panggunaan bahasa baku dipopularkan semasa datuk seri anwar ibrahim berada dalam kerajaan. setelah ia disingkirkan bahasa baku pun terhakis. yang ada adalah dasar PPSMI. cuba kita renungkan...
Hakikatnya guru-guru yang mengajar bahasa Melayu juga tidak semuanya mahir dalam kemahiran berbahasa. Di sekolah saya ramai kalangan yang bukan opsyen mengajar bahasa Melayu kerana kekurangan guru opsyen tersebut. Kebanyakannya diarahkan mengajar tingkatan 1 dan 2. Hal ini tentulah menimbulkan masalah kepada pelajar kerana guru sendiri tidak menguasai aspek pengajaran dan juga hal-hal berkaitan tatabahasa.
Salam. Saya juga menemui ramai guru bahasa yang tidak benar-benar menjaga bahasa yang digunakan. Bukan sekadar menggunakan bahasa yang bercampur-campur dengan bahasa asing, tetapi juga tidak menjaga budi bahasa dan kesopanannya. Kasihan pelajar mereka.
faziz
Banyak dasar berkaitan bahasa sudah ada, sekarang ada pula MBMMBI. Bahasa Melayu masih sama saja nasibnya.
Pendidik
Pelik bukan apabila selalu mendengar alasan yang diberikan oleh pegawai JPN dalam soal penempatan guru beropsyen BM..."Guru Opsyen BM berlebihan".
Marniyati
Saya setuju dengan puan.
Hal demikian menjadi teladan yang kurang baik kepada pelajar dan juga guru-guru lain. Amalan berbahasa dengan baik dan betul sukar untuk diterapkan.
Pada saya guru berbahasa sewajarnya cuba berbahasa sebaik mungkin dan baik pula caranya.
Begitu hebat penjajah Inggris hingga terjajah segala segi warga Semenanjung Melayu dan Borneo hingga ke saat ini, bahasa Melayu saduran dijulang sebagai gaya mutakhir yang maju lagi jenaka. Bahasa bukanlah sesuatu yang perlu dipandang enteng. Ianya jiwa. Ayuh bingkas kita semua di sini dan para pembaca budiman sekalian ujudkan suasana Bahasa Melayu yang tinggi dalam kalangan diri kita, keluarga kita, ahli masyarakat dan seterusnya ke serata tanahair tercinta. Sama sama kita nafikan sekerasnya bahasa bahasa pasar dan rancu yang menjadi kebiasaan kepada keturunan gelandangan. Mari semua berpadu!
p.s Bahasa Melayu lingua franca nusantara! itu hakikat ratusan tahon lamanya! jangan nafikannya!
-SuluhMalaya
salam,
IP setuju dengan pendapat saudara. Seharusnya guru dijadikan suri teladan cara berbahasa yang betul. Barulah langkah ini menjadi ikutan kepada anak didik kita. Bahasa itu jiwa bangsa.
Post a Comment