5 kesilapan pemikiran penyokong PPSMI
Sumber: http://marni-ameera.blogspot.com/2009/04/kesilapan_20.html
Dalam ucap utama Datuk Hassan Ahmad sempena Wacana Pemerkasaan Bahasa Melayu sebagai Bahasa Ilmu semalam, beliau menggariskan 5 kesilapan minda dan pemikiran yang dimiliki oleh para penyokong ppsmi.
Kesilapan pertama:
Mereka tidak tahu dan tidak percaya bahawa bahasa Melayu adalah bahasa ilmu. Mereka menyangka bahasa Melayu hanya berkembang sebagai bahasa ilmu tinggi selepas Tanah Melayu merdeka.
Hakikatnya, bahasa Melayu telah berkembang sebagai bahasa ilmu sejak zaman Kerajaan Melayu Srivijaya di Palembang, iaitu seawal abad ke 7 lagi. Bahasa Inggeris adalah bahasa primitif semasa bahasa Melayu telah mula berkembang sebagai bahasa ilmu.
Kesilapan kedua:
Mereka menyangka, seperti juga sangkaan dan dan kepercayaan penjajah Inggeris dan orientalis klasik Barat dahulu kala, bahawa ilmu di dunia ini hanya terdapat dalam bahasa Inggeris.
Kata mereka lagi, bahasa Melayu terpaksa meminjam ratusan ribu istilah daripada bahasa Inggeris. Maka mereka berpendapat adalah lebih mudah belajar sahaja sains dan matematik dalam bahasa Inggeris.
Hakikatnya, jika tidak meminjam, bahasa Melayu tidak akan dapat berkembang dan akhirnya akan mati. Bahasa Inggeris sendiri dahulunya meminjam 85% istilah dari bahasa Greek, Latin dan bahasa-bahasa lain. Bahkan, bahasa Inggeris telah meminjam istilah dari 350 buah bahasa lain di dunia.
Jadi, apa salahnya jika bahasa Melayu meminjam istilah dari bahasa Inggeris pula? Begitulah bahasa dibina!
Kesilapan ketiga:
Mereka menyangka orang yang membantah ppsmi adalah orang yang anti bahasa Inggeris, penentang kemajuan dan fanatik atau nasionalis ultra bahasa Melayu.
Hakikatnya, penentang ppsmi adalah orang yang fasih dan mahir dalam penguasaan bahasa Inggeris, bahkan lebih baik dari penyokong ppsmi sendiri.
Penentang ppsmi hanya mempersoalkan mengapa selepas 11 tahun belajar bahasa Inggeris di sekolah, pelajar masih gagal menguasai bahasa itu? Sudah tentu jawapannya adalah silap kaedah pengajaran dan pembelajaran bahasa Inggeris itu sendiri dan ia mesti dibaiki.
Orang yang berfikiran keliru sahaja yang mengatakan bahawa pelajar kita akan lebih mahir dalam bahasa Inggeris melalui ppsmi.
Kesilapan keempat:
Mereka berkata bahawa menguasai bahasa Inggeris tidak akan menjejaskan martabat bahasa Melayu atau mengubah identiti mahupun jati diri bangsa Melayu.
Belajar bahasa bererti kita mempelajari budaya. Semua orang tahu bahawa apabila kita belajar bahasa Inggeris, maka jati diri atau identiti atau budaya dan nilai Islam kita akan ikut berubah.
Ada bezanya antara "I think" dengan "Saya rasa". Jika melalui ungkapan "I think" seseorang itu menyampaikan pendapat hanya dengan pertimbangan akal, maka orang Melayu mengatakan "Saya rasa" kerana pendapat yang diberikan bukan sekadar mengikut pertimbangan akal, bahkan juga pertimbangan hati dan perasaan. Itulah budaya Melayu yang dicerminkan melalui bahasa.
Kesilapan kelima:
Masalah kesilapan maklumat – kebanyakan orang, khususnya Melayu – yang menyokong ppsmi tidak tahu mengapakah mereka menyokongnya. Mereka tidak mendapat maklumat yang benar tentang keburukan dan kelemahan dasar itu.
Mereka tidak faham isu yang sebenar. Mereka dipengaruh oleh data, maklumat dan penerangan rasmi pegawai kerajaan yang menjalankan tugas menurut perintah pembuat dasar, bukan mengikut akal fikir masing-masing.
Segala masalah, kelemahan pelajar, kegagalan pelajar luar bandar, sekolah di kawasan hulu, dan masalah puluhan ribu guru yang gagal mengajar sains dan matematik dengan baik dalam bahasa Inggeris tidak didedahkan di media arus perdana.
Guru-guru yang terlibat secara langsung dengan ppsmi menyokong usaha ppsmi kerana mereka menerima imbuhan berbentuk elaun khas mengajar.
Kesimpulan yang dibuat oleh Datuk Hassan Ahmad dalam kertas kerjanya adalah kita memerlukan dasar bahasa dan pendidikan dalam bahasa Melayu yang jelas dan tegas.
Kita juga memerlukan pemimpin negara dan para menteri serta pegawai yang cekap dan cukup ilmu pengetahuannya untuk melaksanakan dasar dengan tegas, berani dan benar.
Ppsmi mesti dimansuhkan!
(Disalin dari teks Ucap Utama Datuk Hassan Ahmad dan ditambah dengan ucapan tanpa teks beliau pada majlis tersebut).
7 ulasan:
salam,
rasanya kalau nak menentukan ppsmi ini perlu dimansuhkan atau tidak,biarlah tanya pendapat pelajar yang masih bersekolah kerana mereka yang nak belajar dan juga guru yang nak mengajar.bagi saya,tak ada masalahnya belajar sains dan matematik dalam bahasa melayu.hidup je lagi sampai sekarang.yg jadi masalah mungkin ketika memasuki ipta/ipts kerana semua subjek diajar dalam bahasa inggeris.tapi,semuanya boleh.itulah namanya cabran dalam menuntut ilmu.
terima kasih :)
Itu baru diberi sekadar lima kesilapan sahaja. Sebenarnya boleh sahaja lebih daripada itu. Itulah luasnya ilmu bahasa yang amat kurang disedari kebanyakan kita, terutama yang tidak mengkhususkan dalam bidang ini.
Peminat dan ahli bahasa sememangnya amat maklum akan hal sedemikian. Banyak pemimpin kita tidak ambil endah hal sebegini, bahkan yang lebih teruk tidak mahu merujuk pandangan ahli bahasa ini.
Begitulah masyarakat kita yang tidak tahu dan tidak mahu untuk mengangkat martabat bangsa negara sendiri, dek kejahilan diri.
milimilo: Bermasalah apabila sains dan matematik diajar dalam bahasa Inggeris. Penguasaan BI tidak dapat ditingkatkan sebaliknya penguasaan ilmu sains dan matematik makin ke belakang dan bahasa melayu juga ketinggalan.
Di peringkat sekolah wajar penekanan pembelajaran dengan menggunakan bahasa Melayu, manakala di peringkat tinggi proses peluasaan ilmu boleh dilakukan dalam pelbagai bahasa.
melayuinsaf: Pelik bukan? Sudah banyak fakta dikemukakan tapi sikap lepas tangan dan dolak-dalik masih bersarang dalam kalangan mereka yang bertanggungjawab. Apa yang mahu disembunyikan? Moga Timbalan Perdana Menteri lebih celik minda dan mata dalam soal PPSMI ini. Harap-harapnya....
Salam,
Memang benar, ada 1001 kesilapan dalam perlaksanaan ppsmi, namun 5 kesilapan asas ini cukup menunjukkan betapa tidak cerdiknya dasar ini. Mangsanya adalah anak kecil yang tidak tahu apa-apa. Kita yang tahu inilah yang harus membela nasib mereka.
Sangat dikesali apabila mereka - yang sering melaungkan akan membela nasib bangsa, akan mempertahankan ketuanan Melayu, akan perjuangkan hak bangsa Melayu - yang sebenarnya cuba membunuh bahasa Melayu.
saya menyokong jika ppsmi ini dihapuskan..bahasa ibunda kita kelihatan terpingir dan tidak salah jika saya katakan pada suatu hari nanti bahasa malaysia hanya akan tertulis dalam sejarah dan generasi akan datang tidak akan dapat mengenali bahasa ibunda kita.. kini bahasa malaysia telah dijadikan salah satu matapelajaran di universiti2 di luar negara misalnya Jepun,United Kingdom,China dan lain2...
kalau tidak salah tekaan saya bahasa malaysia sudah berada di tempat keempat di dunia..jadi mengapa kita perlu membuang bahasa kita sendiri dan membiarkan bangsa2 lain mempelajarinya?
mungkin individu2 yang menyokong PPSMI mengalami masalah kelemahan bahasa sendiri...
Marniyati:
Dasar tidak cerdik atau pembuat dasarnya...? Saya setuju dengan maksud tersiratnya di situ...
anonymous:
tindakan saudara tidak menyokong PPSMI itu sudah besar maknanya untuk memartabatkan bahasa Melayu.
Saya sangat yakin bahwa semua pribumi kepulauan rempah Melayu akan bingkas bangun merampas mahkota Bahsa Melayu kita yang telah disengajakan direncongkan sudut pandangnya oleh bahsa penjajah. Lebih buruk lagi, warga nusantara yang punyai darah kacuk membusung dada menginjak-injak bahsa keturunan kita di nusantara. Permasalahan sekarang ialah perlaksanaan dan tindakan oleh penguatkuasa bahsa kebangsaan sangat sangat mengecewakan. Bahasa pasar dan rancu rancu bahsa seumpama diagungkan khasnya di media elektronik. Lihat aja penggunaan kata "OK" dan "SO".
Saya merayu tindakan maha keras diambil kepada mana-mana paparan media awam yang dilihat mengancam atopun melecehkan bahsa kebangsaan kita. Denda kalo RM1000 itu sungguh kecil. saya mendambarkan denda dalam 6 angka atas kerusakan bahsa, budaya dan keaiban.
Bahasa Malaysia TIDAK UJUD!, dalam perlembagaan jelas diwartakan bahwa diwartakan Bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi dan kebangsaan negara ini. Bahasa Malaysia diujud supaya dinafikan istilah Melayu itu pada nama bahasa kita.
P.s yg bukan asli nusantara pasti berang dan menentang Bahasa Melayu, kalian lihat aja sekarang. 35% yang menyusahkan!
Post a Comment