25 February 2009

Biasakan berbudi dan berbahasa

(i)
Orang berbudi kita berbahasa.

Menjadi seorang yang berbudi dan juga berbahasa bukanlah mudah. Tunjuk ajar memainkan peranan penting dalam membentuk keperibadian seseorang. Hal ini diperingatkan oleh baginda Rasulullah s.a.w:

“Setiap anak yang dilahirkan dalam keadaan fitrah (suci bersih). Maka ibu bapa yang akan membentuknya menjadi Yahudi atau Nasrani atau Majusi.”

Pepatah Melayu juga mengungkapkan, “Melentur buluh biarlah dari rebungnya.”

(ii)
Semalam dua pekerja kedai perabot menghantar perabot yang saya beli tiga hari yang lalu.
Seorang Melayu dan seorang lagi Bangladesh. Proses menurun, mengangkat dan memasang banyak dilakukan oleh lelaki Bangladesh berbanding lelaki Melayu. Saya beranggapan mungkin lelaki Melayu itu pemandu lori, maka lelaki Bangladesh itu yang perlu lakukan semuanya; termasuklah kerja memasang yang agak merumitkan juga dilakukan tanpa bantuan. Saya akhirnya membantu juga, sedangkan lelaki Melayu itu berada di luar.

Belum pun selesai, isteri saya telah menghidangkan minuman sejuk kepada mereka. Lantas saya mempelawa mereka untuk minum. Lelaki Bangladesh mengucapkan terima kasih dan menyatakan mahu menyudahkan kerjanya dahulu. Lelaki Melayu pula terus duduk dan minum.
Setelah selesai kerja memasang, saya sekali lagi mempelawa minuman kepada lelaki Bangladesh.

“Alhamdulilah, terima kasih,” katanya.
“Sama-sama,” balas saya.
Sambil minum dan berbual-bual ringkas, mereka meminta diri untuk beredar.
“Ada perabot yang perlu dihantar lagi,” kata lelaki Bangladesh itu.
“Terima kasih, assalamualaikum,” sambungnya lagi.

Lelaki Melayu itu berlalu begitu sahaja.
Saya membalas jawab dan mengucapkankan terima kasih kepada mereka.

Budi dan bahasa itu bukan milik Melayu sahaja walaupun banyak gambaran lalu tentang kehebatan orang Melayu yang kaya dengan nilai dan budinya, bahasa dan sopan-santunnya. Zaman sudah berubah, tetapi ajaran Islam tentang budi bahasa, sopan dan santun tetap relevan sepanjang zaman.

Anak kambing di tepi pantai,
Pandai melompat pandai berlari;
Biar buruk kain dipakai,
Asal hidup pandai berbudi.

Tenang-tenang air di laut,
Sampan kolek mudik ke tanjung;
Hati terkenang mulut menyebut,
Budi yang baik rasa nak junjung.

1 ulasan:

melayuini 25 February, 2009 23:20  

Banyak orang banyak ragam.

  © Blogger template 'Personal Blog' by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP