20 February 2009

Bahasa jiwa bangsa


"Bahasa jiwa bangsa", hilang bahasa lenyaplah bangsa.

Kita "mungkin" masih bernasib baik kerana bahasa ibunda kita masih digunakan walaupun dalam keadaan yang sudah cacamarba.

Masakan tidak, bahasa Melayu kita sudah menjadi bahasa rojak. Malang lagi kebanyakan penutur natifnya sendiri lebih gemar berbahasa rojak daripada berbahasa Melayu sepenuhnya.

Maka sering ditemui orang Melayu lebih Inggeris daripada orang Inggeris, lebih Cina daripada orang Cina, lebih India daripada orang India dalam perbualannya. Sedangkan bahasa yang digunakan bukanlah bahasa Inggeris sepenuhnya, atau bahasa Cina sepenuhnya, juga bahasa Tamil selengkapnya- Hanya menggunakan bahasa rojak atau bahasa pasar sahaja.

"Tauke, ini barang berapa harga ma?"
"Ayo, itu macam ka aci?"
"Jom kita keluar lunch tengah hari ni. You tunggu I kat tempat parking, ok"

Mungkin satu kebiasaan apabila situasi penggunaan bahasa sebegini ditemui dalam perbualan biasa-biasa dalam urusan yang tidak rasmi. Namun bagaimana apabila bahasa sebegitu juga banyak digunakan di pejabat, malah di Parlimen juga?
Tingkap papan kayu bersegi,
Sampan sakat di Pulau Angsa;
Indah tampan kerana budi,
Tinggi bangsa kerana bahasa.




2 ulasan:

Cikgu Wahab (simantanguru) 20 February, 2009 11:16  

Mendewa,

Ada orang yang berpegang kepada konsep 'dinamika bahasa'. Kata mereka, bahasa tidak wajar disekat perkembangannya. Juga, bahasa jangan sampai kaku dan terus ajal. Kata mereka, lihat sahaja nasib bahasa Sanskrit itu. Bahasa yang bersifat holistik. Amat pantang, jika diubah sedikit pun. Jaga ketulenannya. Kini bahasa itu sudah lena di arkib, hanya menjadi bahan kajian sambil menanti ajalnya.

Namun apa yang terjadi kepada bahasa kita?. Kononnya bersifat dinamik, tetapi perkembangannya dan dinamikanya hilang kawalan, tersasar arah, lemah dan tergoda dengan segala caca marbanya. Dalam kerojakannya, kita memang masih bernasib baik!


Di manakah jiwa bangsany?

mendewa 22 February, 2009 18:39  

Cikgu Wahab: Semakin hari semakin banyak kerancuan
yang berlaku dalam bahasa kita. Mungkin sesetengah pihak beranggapan hal
yang berlaku ini hanyalah fenomena perkembangan bahasa yang perlu mengikut
arus dan hasilnya juga membawa kebaikan kepada perkembangan bahasa. Umpamanya,
kini beberapa kata sudah diterima pakai dalam Kamus Dewan dan terbaru
DBP juga telah mengeluarkan senarai singkatan bahasa sms yang sewajarnya
digunakan.
Namun kita perlu melihat juga bahawa kerancuan berbahasa yang berlaku
itu akhirnya akan merosakkan keindahan bahasa dan lompong-lompong kerosakan
itu akan sukar untuk diperbaiki kemudiannya. Maka bahasa kita akan terus
kehilangan seni dan jati dirinya.

  © Blogger template 'Personal Blog' by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP