07 November 2009

Guru Bahasa Berbahasa

Berpeluang menghadiri Bengkel Penghayatan Komsas peringkat negeri pada bulan lepas memberikan banyak ilmu kepada saya, terutama dalam hal kaedah dan teknik pengajaran komsas. Komsas merupakan komponen penting dalam mata pelajaran bahasa Malaysia.

Bengkel tersebut yang dikelolakan oleh jurulatih berpengalaman (guru) berdasarkan bidang ilmu yang mereka sampaikan. Pada saya objektif bengkel untuk menyalurkan kaedah dan teknik pengajaran kepada guru tercapai. Sesi bengkel pun menarik walaupun sesetengah guru yang datang berharap akan memperoleh penjelasan berkaitan teks baru komsas yang akan digunakan oleh pelajar tingkatan 1 dan tingkatan 4 pada tahun 2010.

Sepanjang bengkel tersebut, saya tertarik dengan penggunaan bahasa dalam kalangan jurulatih dan peserta yang semuanya mengajar sama ada sastera atau bahasa Malaysia di sekolah masing-masing. Sukar untuk mendengar bahasa Malaysia digunakan dengan sebaiknya. Penggunaan dialek dan bahasa rojak begitu ketara. Mungkin kerana mahu santai atau sengaja tidak mahu berbahasa sebaiknya. Dalam kalangan peserta ada yang menggunakan bahasa baku dengan baik dan mendapat pujian daripada jurulatih, namun jurulatih sendiri masih terikat dengan kepekatan dialeknya. Antara yang saya catatkan:

i. Dalam beg ni ada segala mak neka
ii. Tak dan nak make up
iii. Kita konar sikit no
iv. Dia bangkit, dia celapak pi
v. Belum makan slow, lepas makan pun slow juga
vi. Semua dah warming up

Memang sukar untuk cuba berbahasa dengan sebaiknya, namun sebagai guru yang mengajar bahasa ibunda keutamaan untuk menggunakan bahasa baku wajarlah dijadikan kebiasaan. Kita haruslah cuba untuk berbahasa dengan sebaiknya.

11 October 2009

Terima kasih W.B. Rendra


Selanjutnya bacalah di sini.

Saya doakan moga Allah memberkati usaha baik saudara. Mudah-mudahan inisiatif saudara akan menjadi ikutan pengkarya-pengkarya lain dalam menyemarakkan budaya membaca.

05 October 2009

Janganlah Goyah Kawan!

Jika anda yakin perjuangan anda benar, teruskanlah dan tetapkan pendirian!
Jangan sesekali goyah apabila teman anda sendiri mula berpaling tadah kerana mempercayai kebenaran di pihak lain atau pun kononnya berprinsip 'belas kasihan' dan 'memaafkan'.

Sepanjang itu; yang berpihak pada anda, yang tidak bersetuju dengan anda, dan yang seperti lalang sifatnya atau yang atas pagar kononnya, akan memerhatikan anda...

Apabila perjuangan anda berhasil, ramai yang akan suka, tentu juga ada yang tidak ceria. Jangan harapkan pujian dan terima kasih atau sekalung tahniah kerana anda sukar untuk mendengarnya.

Anda akan rasa bahagia apabila ada yang datang secara peribadi dan mengungkapkan "Anda memang orang yang berani!", "Tidak goyah sama sekali", "Salam pejuang, matlamat tercapai akhirnya." dan berbagai-bagai lagi...

Yang pasti anda perlu sentiasa berhati-hati...perjuangan bukan untuk membuka aib tetapi mencari kebenaran. Apabila matlamat sudah tercapai, maka tutuplah cerita-cerita yang berulang atau datang sesudahnya...

Kata saya, buka buku baru...

25 September 2009

SMS Raya & Hiburan Raya

Salam Aidil Fitri dan salam silaturrahim.

i. SMS Raya

Terima kasih kepada rakan dan saudara yang sudi menghantar sms kepada saya.
Terima kasih juga kepada rakan dan saudara yang berkesempatan membalas sms saya.

Saya gembira kerana semua sms yang diterima menggunakan bahasa Melayu 100%. Tidak ada bahasa rojak. Hebat bukan? Begitulah indahnya bahasa Melayu yang mampu mengungkap rasa hati dalam menyampaikan rasa sanjung, hormat, kerendahan hati dan kemaafan serta doa kepada rakan/saudara.

ii. Hiburan Raya

Rancangan Al-Kulliyah TV3 petang tadi mebicarakan tentang Raya Bertaqwa. Panelisnya Dato' Abu Hassan Din dan Dr. Ridhuan Tee Abdullah manakala perantaranya Ustaz Mohd. Fauzi. Perbincangan dan kupasan panelis amat menarik.

Realitinya, raya ini seperti juga raya sebelumnya, kita dihidangkan dengan pelbagai hiburan yang menggunakan pelbagai judul. Semua saluran tv berlumba-lumba menghidangkan pelbagai rancangan yang kononnya untuk memberikan kegembiraan pada hari raya. Malang lagi rancangannya entah apa-apa sekadar mengumpan penonton dengan artis saja, pengisiannya jelas bercanggah dengan agama, adab dan budaya.

Kita masih terperangkap dengan pengertian raya sebagai hari untuk berhibur. Agaknya begitulah...

29 August 2009

Semangat Patriotisme Rendah kerana Abaikan Agama

Beberapa hari lagi negara kita akan menyambut ulang tahun kemerdekaan ke-52. Suasana dan kehangatan sambutan mungkin tidak sehebat beberapa tahun sebelum ini. Kibaran Jalur Gemilang masih tidak semeriah dahulu. Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan Malaysia, Datuk Seri Rais Yatim melahirkan rasa kesal dan menyifatkan kebanyakan rakyat masih mempunyai tahap patriotisme yang rendah (Utusan Malaysia, 29 Ogos 2009):
''Apa yang dikesalkan, ramai yang mampu membeli rokok pada harga RM6.80 sekotak, tetapi keberatan mendapatkan sehelai bendera kecil yang berharga tidak lebih daripada RM3."

''Agihan bendera secara percuma memanglah boleh dilakukan sesekali, tetapi apa yang lebih penting, kita haruslah menyemai semangat cintakan negara dalam keluarga masing-masing," katanya.

Menurut Datuk Seri Rais Yatim, acara sambutan malam kemerdekaan tahun ini juga jauh berbeza dari sambutan sebelumnya. Fokus sambutan lebih kepada upacara keagamaan.
''Ini kali pertama sambutan Hari Kemerdekaan menumpukan kepada aspek keagamaan dan akan diteruskan pada tahun-tahun yang akan datang," ujar beliau.

Itulah saranan yang telah dilaungkan oleh banyak pihak dan individu yang prihatin dengan pelbagai gejala sosial yang wujud akibat daripada sambutan kemerdekaan sebelum ini yang lebih bersifat hiburan dan keseronokan sahaja. Pengisian sambutan yang dipenuhi dengan hiburan dan keseronokan telah menjauhkan kesedaran generasi kita terhadap erti kemerdekaan. Hasilnya, hari kemerdekaan dinanti-nantikan sebagai hari untuk berlibur sahaja. Tahap patriotisme rakyat juga tidak dapat ditingkatkan.

Kesedaran kerajaan seperti digambarkan oleh Datuk Seri Rais Yatim diharap menjadi amalan berterusan ke arah sambutan kemerdekaan yang lebih berhemah dan dapat mewujudkan kesedaran serta memupuk semangat patriotisme dalam kalangan pelbagai lapisan rakyat dan kaum di negara kita.
Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Cintakan tanah air itu sebahagian daripada iman.” (Riwayat Bukhari dan Muslim).